Hukum Umrah

Hukum mengerjakan umrah adalah sama dengan hukum mengerjakan haji iaitu wajib sekali seumur hidup bagi sesiapa yang berkuasa atau berupaya melakukannya. Dalil wajib umrah ialah seperti pada firman Allah s.w.t. :

وَٲَﺗِﻤّ‍ُّّﻮا◌اﻟْﺤَﺞّ‏َوَاﻟْﻌُﻤْﺮَةَ◌ﻟِﻠﻪِ
Maksudnya: Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah. (Al-Baqarah: 196).

Daripada hadis, dalil wajib umrah ialah hadis riwayat ad-Dailami:
Daripada Zaid bin Tsabit r.a. berkata ia: “Telah bersabda Rasulullah s.a.w.: “Mengerjakan haji dan umrah itu dua fardu yang hanya sekali sahaja (bagi seseorang Islam yang cukup syarat), bolehlah engkau kerjakan mana satu dahulu (sama ada haji ataupun umrah).””

Bagi kebanyakan orang, mereka melakukan ibadat umrah ketika mereka menunaikan haji bagi menjimatkan perbelanjaan dan juga masa. Namun, pada ketika ini, kerajaan Arab Saudi mengehadkan bilangan jemaah daripada sesebuah negara ialah sebanyak 0.1 peratus sahaja daripada bilangan penduduk negara tersebut. Oleh yang demikian, bakal jemaah haji Malaysia misalnya, selepas mendaftar, terpaksa menunggu sehingga 10 tahun baru boleh menunaikan fardu haji. Oleh yang demikian ramai yang mengambil keputusan melakukan ibadah umrah terlebih dahulu.

Perlulah diingat bagi yang mengerjakan umrah buat pertama kalinya, maka umrah itu ialah umrah wajib. Umrah-umrah lain yang dilakukan selepas itu ialah umrah sunat, hatta umrah yang mengiringi ibadah haji. Oleh yang demikian, umrah yang pertama kali tersebut perlulah dilakukan dengan sebaik mungkin dengan melakukan manasik umrah sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

Satu perkara yang perlu diberi perhatian ialah, kadang-kadang kita dapati ramai orang pergi melakukan umrah sunat beberapa kali tetapi masih tidak menunaikan ibadah haji. Umrah pertama wajib, umrah kedua, ketiga, keempat dan seterusnya adalah sunat. Haji pertama kali adalah wajib. Maka perkara ini perlulah diperbetulkan. Sebab walaupun senarai menunggu haji adalah terlalu lama, tetapi saya dapati ia boleh dipendekkan jika kita pergi melalui pakej. Jadi belanja umrah-umrah sunat boleh digunakan untuk menunaikan haji melalui pakej. Oleh itu barulah tuntutan kewajiban menunaikan haji terlepas daripada seseorang.